Thursday, March 4, 2010

Usrah oh USRAH !

Usrah ...
Sebuah institusi yang berperanan meningkatkan kefahaman tentang ISLAM ..


Apa itu usrah ?

Berdasarkan pengalaman berusrah bersama beberapa orang naqib serta ceteknya pengetahuan diri sendiri tentang bagaimana sistem usrah berfungsi, dapatlah digambarkan usrah itu sebagai proses "suap-menyuap" di antara dengan naqib dengan anak-anak buahnya. Kadangkala dapat dikategorikan juga usrah sebagai satu medan untuk "dibrainwash" minda pemuda-pemudi supaya menurut kemahuan dan kepentingan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Akhirnya, sistem usrah yang diharapkan mampu melahirkan pembela-pembela ISLAM suatu hari nanti, menjadi "kilang produk" mangsa percaturan golongan kafir dan munafik yang mahu menegakkan agenda masing-asing!

Bunyinya sungguh menjengkelkan, namun itulah hakikatnya.


Peranan usrah.

Sejak kejayaan demi kejayaan projek pembodohan rakyat Malaysia melalui sistem pendidikan yang sedia ada dapat dituai, semakin bodohlah rakyat Malaysia dengan kewujudan pendidikan alternatif melalui sistem usrah yang sedia ada.

Usrah sepatutnya berperanan sebagai satu medium pertukaran idea, satu medium berkonflik, yang WAJIB dicetuskan oleh setiap anak usrah. Alangkah malangnya anak-anak usrah, sudahlah di kelas disuap-suap oleh pensyarah, dalam usrah pun diperlakukan sebegitu rupa jua! Lama-kelamaan lahirlah satu generasi "pak turut" yang hanya mematuhi segala kehendak nafsu serakah tuannya tanpa boleh membuat pertimbangan yang rasional.

Kefahaman, bukanlah bermaksud memahami atau mampu menjawab soalan-soalan yang ditujukan dengan sempurna. Sebaliknya, ditafsirkan sebagai kemampuan untuk mengkritik dengan cemerlang bertujuan untuk membina dan memberi refleksi terhadap kefahaman diri sendiri berkenaan sesuatu isu.

Dengan wujudnya konflik, maka bermulalah proses kritik-mengkritik, yang mampu menghasilkan satu ledakan imaginasi yang asli dan kreatif hasil daripada pemikiran anak-anak usrah. Perlu diingat, kritik bukanlah bertujuan untuk "menegakkan benang yang basah", tetapi adalah untuk membina satu kemahiran melihat "satu fenomena" dari pelbagai sudut serta membaikpulih keadaan dengan menyumbang kepada idea-idea bernas - dengan penuh keyakinan.


Permasalahan usrah.

Secara kasarnya dapat dihuraikan bahawa keahlian usrah pelajar biasanya menarik minat golongan-golongan "hard science" dengan lambakan penyertaan daripada pelajar-pelajar kejuruteraan dan kedoktoran. Puncanya, mereka ini menganggap penyertaan usrah mampu mengisi kelompongan ilmu islam yang mereka hadapi. Lain pulanya halnya jika dikaitkan dengan penyertaaan golongan "soft science" ataupun "social science" . Berbekalkan falsafah-falsafah serta susur galur sejarah pembentukan masyarakat dunia ini, frasa-frasa seperti "Demokrasi tidak wujud di dalam ISLAM" sudah tentu menyebabkan jiwa mereka tidak tenteram dan serba tak kena. Golongan-golongan inilah yang akan menggali habis-habisan frasa yang dinyatakan naqib mereka berlandaskan pengetahuan mereka untuk menimbulkan konflik dalam usrah seterusnya menghasilkan kritikan-kritikan yang cemerlang terhadap idea-idea yang kelihatan asing di dunia islam. Golongan "hard science" yang merasakan diri mereka ini telah menyumbang kepada faktor kemenangan islam dengan memenuhi slot-slot yang disediakan, pada hakikatnya mereka ini dalam keadaan sedar tidak sedar, telah melambatkan pergerakan islam!

Namun begitu, ini tidaklah bermakna golongan-golongan dari "hard science" ini tidak dapat membantu dalam menghasilkan satu cetusan idea yang menarik. Golongan-golongan ini perlulah terlebih dahulu mahir dalam "membaca" persekitaran dan sentiasa sensitif terhadap isu-isu semasa. Di tambah pula dengan kelahiran pelbagai jenis ideologi serta fahaman karut yang timbul di dalam masyarakat. Pengetahuan sampingan melalui PEMBACAAN serta PENGKAJIAN buku-buku falsafah, sosial dan sejarah mampu menampung menutup kelompongan yang sedia ada.

Tidak hairanlah semakin hari semakin ramai pelajar yang menjadi robot lahir di Malaysia. Sudah-sudahlah suap-menyuap itu wahai naqib-naqib sekalian. Banyaknya pengetahuan tidak bererti tingginya kefahaman. Pengetahuan tanpa kefahaman hanyalah ibarat satu lapisan menara buku, terlanggar sikit pun dah tumbang ... apatah lagi kalau dirempuh!