Thursday, April 7, 2011

Buku ¨Intelektual Masyarakat Membangun¨

Baru-baru ini, penulis telah berjaya menghabiskan sebuah buku yang bertajuk "Intelektual Masyarakat Membangun" ktulisan Almarhum Syed Hussain Al-Attas, terjemahan kepada "Intellectual in Developing Societes". Karya tersebut sesungguhnya berjaya membuka mata penulis dalam menilai sudut sosiologi masyarakat membangun yang cuba dihuraikan dalam bentuk ¨revisi sejarah¨, bererti dari sudut pensejarahan serta pembentukan sesebuah masyarakat itu sendiri.


Almarhum Syed Hussain telah membezakan dua kelompok dan memberi istilah kepada setiap satunya tersendiri. Mereka digelar kelompok "intelligensia" dan "intelektual". Intelligensia, dihuraikan dalam buku tersebut sebagai golongan cerdik pandai yang dilahirkan menerusi sebuah sistem pendidikan yang teratur serta mahir dalam selok-belok skop akademiknya. Manakala bagi intelektual pula, ianya bermaksud sekelompok pemikir yang berkemampuan untuk mengintegrasikan pelbagai pengetahuan untuk diaplikasikan dalam persoalan kehidupan, yang tidak dapat dilahirkan melalui sistem pendidikan yang sistematik, melainkan melalui kualiti pemikiran yang tinggi hasil daripada diskusi bersama intelektualis yang lain. Untuk membezakan kedua-kedua kelompok adalah mudah, iaitu dengan mengemukakan persoalan di luar skop akademik mereka. Inilah yang difahami penulis sebagai ilmuan sejati, berbeza pula dengan golongan intelligensia yang selayaknya hanya bergelar akademia-akademia kangkung yang mengalami lambakan di insitusi pengajian tinggi di Malaysia.


Buku tersebut juga membuat perbandingan kemajuan serti mengistilahkan kembali permodenan dalam istilah yang lebih jelas. Negara-negara industri seperti Jerman dan Jepun dibandingkan dengan negara membangun seperti India,Indonesia dan Malaysia. Struktur perbandingan tersebut jelas telah membuktikan bahawa dari sudut pembudayaan serta moral elitis yang tinggi yang mampu membawa sesebuah ketamadunan itu memacu ke hadapan dengan gagah. Dasar pendidikan yang disumbat, langsung tidak berkesinambungan dengan perkembangan sejarah dunia negara membangun, berlainan dengan negara industri walaupun secara ilmiahnya, tidak banyak bezanya kedua-dua sistem pendidikan tersebut. Namun dari sei rohnya, perbezaan yang ketara seperti konsep dualisme itu yang membantutkan perkembangan negara membangun. Inilah akibatnya jika intelektualis gagal berperanan di dalam menjalankan dasar-dasar negara. Sebaliknya, Almarhum telah mendefinisikan kekosongan intelektualis ini diisi dengan golongan pandir yang pada sifatnya, menumbuhkan gejala bebalisme di kalangan elitis dan masyarakat.


Faktor bahasa juga disebutkan menjadi halangan sekiranya bahasa tersebut tidak dikembangkan dan bersifat statik, seperti yang berlaku kepada masyarakat India, yang pada akhirnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmunya. Berbanding pula dengan masyarakat Jepun dan Rusia, yang digambarkan muncul pada waktu yang tepat dalam mengasimilasikan pengetahuan barat tanpa menghilangkan nilai-nilai tradisi yang ada pada mereka. Intelektualis dari negara tersebut, terutamanya dari dinasi Meiji telah memainkan peranan mereka yang fundamental, sekaligus berjaya merestorasi kembali keadaan Jepun supaya menyahut cabaran dunia industri, menjadikan Jepun antara kuasa industri terbesar di dunia.

Intelektualis seperti yang tercatat di tajuk buku tersebut, memainkan peranan sebagai medium perantaraan di antara elitis dan rakyat marhaen. Secara umumnya, bolehlah dikatakan bahawa selagi mana intelektualis di sesebuah negara dihargai dan memainkan peranan yang sepatutnya, selagi itulah negara tersebut mampu memacu ke arah kemajuan yang diimpikan masyarakat.

No comments:

Post a Comment